Sejarah Pakaian Seragam Sekolah

21 02 2010

Tahukah anda sejarah pakaian seragam sekolah di Malaysia? Sejak awal penubuhan sekolah-sekolah di Tanah Melayu termasuk di Sabah dan Sarawak tiada satu garis panduan khusus untuk menyeragamkan pakaian sekolah. Sebagai satu langkah untuk mewujudkan keseragaman maka pada 2 Februari 1969, Menteri Pelajaran pada ketika itu Encik Abdul Rahman Yaacob telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pakaian Seragam Sekolah-sekolah.

Semasa berucap ketika mengumumkan penubuhan Jawatankuasa ini, beliau berkata, antara faktor-faktor utama perlunya diseragamkan pakaian di kalangan pelajar-pelajar bertujuan:

Pakaian seragam yang sama akan mengalakan, integrasi sosial di kalangan masyarakat majmuk negara ini.

– Ibubapa yang bertukar tempat kerja tidak lagi bimbang mengenai pakaian anak-anak mereka yang terpaksa bertukar sekolah.

– Pakaian seragam yang sama akan lebih menarik terutama semasa perbarisan.

Satu peraduan telah diadakan bagi mendapatkan pakaian seragam yang dihadkan kepada pelajar-pelajar sekolah sahaja. Pada 29 Jun 1969, Menteri Pelajaran Encik Abd. Rahman Yaacob telah mengumumkan pakaian seragam sekolah yang berkuatkuasa pada 1970. Untuk murid-murid sekolah rendah baju putih dan seluar pendek biru tua. Murid-murid perempuan di sekolah menengah memakai baju putih dan `penafores’ berwarna biru laut. Bagi murid-murid lelaki memakai baju putih dan seluar pendek biru tua. Manakala pelajar-pelajar tingkatan enam pula, bagi penuntut perempuan baju putih dan skirt warna biru laut dan bagi lelaki baju putih dan seluar panjang putih. Bagi pelajar-pelajar yang beragama Islam dibenarkan memakai baju kurung yang sewarna dengan pakaian seragam. Pada 1976 Menteri Pelajaran Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed telah menukarkan seluar lelaki kepada warna hijau tua. Usaha-usaha yang dijalankan bagi menyeragamkan pakaian penuntut ini mendapat sokongan daripada pihak ibubapa dan guru-guru sekolah.





Forum Perdana Ehwal Islam di SKKN

8 02 2010

   

Buat julung kalinya Forum Perdana Ehwal Islam yang sering disiarkan di saluran RTM itu, akan diadakan di Padang Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang pada 25 Safar 1431 (10 Februari 2010) jam 8.45 malam. Forum ini dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama dengan RTM sebagai penyiar rasmi. Ahli panel yang akan hadir mengupas tajuk “Utusan Agung” pada malam tersebut ialah Dato’ Syeikh Muhammad Baderuddin bin Haji Ahmad iaitu Mufti Negeri Kedah) dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Bagi tajuk kedua iaitu “Kemarau Kasih” pula, Dr. Ahmad Bashir bin Aziz (Universiti Utara Malaysia) dan Ustaz Badli Shah bin Alauddin (Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIP) akan merungkai topik berkenaan. Pengacara forum ialah Ustaz Zakaria bin Othman. Semua dijemput hadir bagi memperoleh manfaat dari majlis ilmu ini.

Anjuran bersama:

 

Kerjasama:

Pejabat Agama Daerah Padang Terap





Blog SKKN Capai 1,000 Hits

2 02 2010

Blog SKKN kini telah mencapai 1,000 hits sejak dimulakan pada 10.12.2009. Terdapat 277 hits pada bulan Disember 2009 manakala 711 hits pada Januari 2010. Manakala hari yang paling sibuk menerima kunjungan ialah pada 14.01.2010 dengan 98 hits yang mana separuh daripadanya melayari homepage Blog SKKN (43 hits), selebihnya menuju ke page Pentadbiran (12 hits), page Pautan Blog dan Info SKKN masing-masing dengan 10 hits, serta page Hebahan Aktiviti pula sebanyak 9 hits.

Terima kasih kepada semua pengunjung. Semoga anda mendapat maklumat dan hebahan berguna untuk dikongsi bersama.